Sekapur Sirih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

Segala puji dirafakkan kepada Allah, kerana dengan limpah karunianya dapatlah Kelab UMNO Yogyakarta melancarkan semula laman blog kami. Diharapkan dengan wujudnya laman ini, pengunjung dapat menyeluruhi perjalanan Kelab kami untuk masa-masa yang mendatang. Semoga usaha ini membuahkan kebaikan kepada semua.

Kepada ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Yogyakarta, khususnya, dan semua pengunjung yang bertandang ke laman kami, amnya, gunakanlah laman ini semaksimal dan sebaik mungkin. Sekiranya anda mempunyai sebarang kritik dan saran, bolehlah diajukan terus kepada pentadbir laman ini.

Durbar Raja-Raja Melayu

Isnin, 17 Januari 2011


Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Meskipun ketika itu Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar’, yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India. Apa jua maksudnya, matlamat dan hasil kesan dari Durbar itu, membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia.

Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British kerana Residen ketika itu, Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Walaupun perkara-perkara yang dibincangkan dalam Durbar yang pertama itu hanya melibatkan agama Islam, adat istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, namun ianya merupakan titik tolak dan asas bermulanya persidangan Majlis Raja-Raja. Untuk makluman, gambar sultan-sultan, pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai British yang menghadiri Durbar pertama serta minit mesyuarat Durbar pertama disimpan sebagai khazanah eksklusif negara dan terbuka untuk rujukan semua di Arkib Negara Malaysia.

Durbar kedua diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur dan satu perkara penting yang timbul dalam Durbar kedua ini ialah keberanian Sultan Idris menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Betapa jauh pandangan Sultan Idris yang meminta supaya pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, turut dikongsi oleh anak bangsanya sendiri, menjelaskan pelaksanaan amanah oleh Majlis Raja-Raja bagi pihak orang-orang Melayu ketika itu.

Wajar diingati, kesan dari Durbar juga memperlihatkan peranan Raja-Raja sebagai pelindung dan penjaga hak dan kedaulatan orang Melayu ketika itu. Dari Durbar jugalah idea, cadangan dan suara-suara bangsa bagi mempertingkatkan taraf hidup dan status ekonomi bangsa Melayu diutarakan. Idea asal penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar juga bermula dari sini. Selain itu, penekanan soal agama Islam dan bahasa Melayu turut diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu di ruang yang ada dalam Durbar ini.

0 comments:

About This Blog

Aktiviti Yang Akan Datang

-

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP