Sekapur Sirih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

Segala puji dirafakkan kepada Allah, kerana dengan limpah karunianya dapatlah Kelab UMNO Yogyakarta melancarkan semula laman blog kami. Diharapkan dengan wujudnya laman ini, pengunjung dapat menyeluruhi perjalanan Kelab kami untuk masa-masa yang mendatang. Semoga usaha ini membuahkan kebaikan kepada semua.

Kepada ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Yogyakarta, khususnya, dan semua pengunjung yang bertandang ke laman kami, amnya, gunakanlah laman ini semaksimal dan sebaik mungkin. Sekiranya anda mempunyai sebarang kritik dan saran, bolehlah diajukan terus kepada pentadbir laman ini.

Lawatan dan Perlawanan Persahabatan di Malang

Sabtu, 24 Oktober 2009

PERHATIAN:
khusus kepada pelajar melayu, Jogja sahaja

Perlawanan 3 penjuru antara pelajar Malaysia UMNO Surabaya, Malang dan Yogyakarta akan diadakan di Malang, Indonesia pada 6-8 November 2009. Perlawanan yang akan dipertandingkan adalah seperti berikut:

i) Futsal lelaki (2 pasukan, 7 orang setiap pasukan)
ii) Futsal wanita (1 pasukan, 10 orang bagi setiap pasukan)
iii) Badminton (1 single lelaki, 1 single perempuan, 1 beregu lelaki, 1 beregu perempuan dan 1 beregu campuran)
iv) Bola tampar (1 pasukan lelaki dan 1 pasukan perempuan, 7 orang setiap pasukan)
v) Persembahan pentas (bebas)
vi) Band

Bagi pelajar yang berminat untuk bermain untuk mana-mana permainan atau persembahan, boleh berjumpa atau menghubungi biro sukan Kelab UMNO Jogja, Saudara Amir Zakwan(07') atau Saudara Arif Bahiyuddin (07') selewat-lewatnya minggu hadapan (1 nov). Penyertaan adalah terhad.

Bayaran akan dikenakan sebanyak *Rp200,000 per orang.

Sekian, Terima Kasih.


*bayaran boleh berubah-ubah mengikut perkembangan semasa.

Read more...

Sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong

Sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 6 Jun 2009 yang lalu, pihak kedutaan besar Malaysia di Indonesia telah menganjurkan sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Yogyakarta.

Seramai 200 pelajar turut hadir dalam sambutan gilang-gemilang tersebut. Perwakilan dari Kelab UMNO Yogyakarta tidak terkecuali menghadiri upacara tersebut. Majlis tersebut bukan saja disertai pelajar-pelajar Malaysia di Yogyakarta, tetapi juga dari Kota Solo, Jawa Tengah.


Acara di mulai dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku. Kemudian dilanjutkan dengan ucapan dif kehormat.

Dalam ucapannya, Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Indonesia, Encik Amran Mat Zin berkata sambutan tersebut merupakan yang julung-julung kalinya di adakan di luar Jakarta. Beliau juga menambah, semangat cintakan raja dan tanah air sangat penting disemat pada sanubari pelajar kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan negara dan akan mendukung terus sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Beliau juga menasihatkan agar semua pelajar harus memperkukuhkan bukan saja kecintaan kepada raja dan tanah air tetapi juga patriotisme dan perpaduan serta keharmonian hidup berbilang kaum antara sesama pelajar Malaysia di Indonesia


Majlis makan malam itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar-pelajar Malaysia dan diakhiri dengan nyanyian lagu “Keranamu Malaysia”. Turut hadir dalam acara tersebut adalah Menteri Penasihat Pendidikan di kedutaan, Dr Junaidi Abu Bakar, Atase Agama di kedutaan, Abdul Aziz Yusof dan juga Pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kedutaan, Encik Anuar.

Gambar boleh dilihat [di sini]

Read more...

Lawatan Semarak Ukhwah AJK Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo

Pada 29 Mei hingga 31 Mei 2009 yang lalu, Kelab UMNO Yogyakarta (KUY) telah menganjurkan lawatan “Semarak Ukhwah Kelab UMNO Yogyakarta”. Destinasi yang pertama adalah ke Solo. Matlamat utama program ini adalah untuk memantapkan lagi semangat kebersamaan dan kekitaan antara orang-orang Melayu di Solo dan juga di Yogyakarta. Di samping itu juga, Kelab UMNO Yogyakarta juga mendedahkan kepada para AJKnya untuk menambah pengalaman, pengetahuan dan berkongsi cara pentadbiran dengan organisasi mahasiswa Malaysia di Solo. Bak kata pepatah, Jauh Perjalanan Luas Pemandangan.



Oleh sebab ketiadaannya di Indonesia, Saudara Hafiezulniezam (Presiden KUY) telah melantik Imran Azwan bin Azizan, Setiausaha Eksekutif dan Pentadbiran Kelab UMNO Yogyakarta sebagai Koordinator manakala Iiffa Nabilah binti Shamsuddin, Ketua Puteri Kelab UMNO Yogyakarta sebagai Pengurus Program. Kunjungan ini disertai 20 orang AJK Kelab.

Setibanya di Stesen Kereta Api Balapas, Solo, rombongan Kelab UMNO Yogyakarta disambut ramah oleh Saudara Nazaluddin, YDP PKPMI Solo. Sepanjang kunjungan, AJK Kelab UMNO Yogyakarta telah menginap di Tri-Chakti Kostrad, Solo.

Ikutilah pengalaman menarik kami sepanjang berada di sana.

PERLAWANAN PERSAHABATAN (FUTSAL)

Kelab UMNO Yogyakarta tidak melepaskan peluang untuk menyertai Perlawanan Persahabatan Futsal menentang PKPMI Solo sempena kunjungan mereka ke Solo. Perlawanan ini berlangsung di Pengawai Sport Center Solo dari jam 7.45 malam hingga 9.00 malam pada hari Jumaat 29 Mei 2009.

Perlawanan persahabatan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Dalam perlawanan kumpulan lelaki, Kelab UMNO Yogyakarta telah menjaringkan 7 gol berbalas 3 daripada PKPMI Solo. Saudara Amir Zakwan bin Mohd Yusuf, yang juga merupakan EXCO Sukan Kelab, telah menjaringkan 6 gol, sekaligus menjadi ayam tambatan Kelab UMNO Yogyakarta. Keputusan perlawanan berpihak kepada Kelab UMNO Yogyakarta dengan 7 gol berbalas 3.

Perlawanan pihak perempuan pula menyaksikan pertarungan 30 minit yang sengit. Kedua-dua belah pihak saling menyerang dan menangkis serangan. Keputusan perlawanan seri tanpa gol.

MAKAN MALAM MESRA

Pada Jumaat 29 Mei 2009, Kelab UMNO Yogyakarta telah menaja suatu Makan Malam Mesra Kelab UMNO di Resto Rempah Asia, Solo. Majlis Makan Malam tersebut berlangsung daripada jam 10.00 malam hingga 11.30 malam. Resto Rempah Asia merupakan salah satu Restoran terkenal di Solo yang menyajikan masakan istimewa Malaysia.

Kelab UMNO Yogyakarta telah menempah sebanyak 35 porsi makanan daripada Resto Rempah Asia dalam agenda tersebut. Antara hidangan lazat malam tersebut adalah Nasi Beriyani, Ayam Masak Merah, Pajeri Nanas, Agar-Agar, Teh Tarik, dan Jus Oren.

KE KERATON SOLO

“Kalau ke Paris jangan lupa ke Eiffel-nya, kalau ke Solo jangan lupa ke Keratonnya.”

Begitulah kata orang-orang tua. Pada hari Sabtu 30 Mei 2009, Kelab UMNO Yogyakarta telah mengadakan Kunjungan Sambil Belajar Satu Jam ke Keraton Solo. Keraton adalah Istana Sultan dalam bahasa Jawa. Matlamat lawatan ini adalah untuk mempelajari sejarah ringkas negeri Solo yang melibatkan kisah pembahagian kesultanan Islam Mataram hinggalah keruntuhan kesultanan Solo.

Ahli Rombongan Kelab UMNO tiba di keraton Solo sekitar jam 12.15 tengah hari. Rombongan terlebih dahulu dibawa ke Balairung Seri Keraton Solo. Sebelum memasuki kawasan balairung, hulubalang keraton memeriksa pakaian para pengunjung. Beberapa AJK yang tak mengenakan pakaian sesuai dengan istiadat diminta mengenakan pakaian batik solo yang tersedia di gerbang balairung seri. Sesiapa yang tidak memakai kasut yang menutup tumit juga diminta berkaki ayam sebagai tanda menghormati adat istiadat keistanaan Jawa.

Tanah di kawasan tersebut diambil dari Roro Kidul (Laut Selatan). Ruangan luar balairung seri tersebut dipenuhi dengan patung dewi-dewi pelindung barat yang dihadiahkan oleh Belanda kepada Keraton dalam usahanya menjajah minda dan tanah rakyat Jawa. Terdapat juga sekumpulan pemuzik istana yang mendendangkan gamelan.

MANDI MANDA DI TAMAN AIR PENDAWA

Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo telah bersepakat untuk bermandi-manda bersama di Pandawa Water Park Solo sebagai rekreasi untuk menenangkan stres setelah menduduki peperiksaan beberapa hari sebelumnya. Rombongan tiba di Taman Tema Air Pandawa sekitar jam 2.15 petang.

PKPMI Solo turut membantu ahli rombongan untuk membeli tiket masuk ke Taman Tema Air Pandawa. Seramai 18 orang anggota rombongan Kelab UMNO yang turut serta dalam acara tersebut dan juga Sebahagian ahli PKPMI Solo.

Pengunjung dibahagikan kepada kelompok lelaki dan perempuan. Setelah dibahagikan, anggota rombongan solat Zohor terlebih dahulu. Kemudian, kelompok rombongan pun menyerbu ke dalam kolam bagai seladang bertemu lumpur. Terdapat pelbagai mainan gelongsor air di taman tema tersebut seperti black hole, body slide dan sebagainya. Anggota rombongan Kelab UMNO tidak melepaskan peluang menikmati semua jenis gelongsor air.

Anggota rombongan pulang ke tempat penginapan sekitar jam 5.50 petang setelah menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah

MAJLIS RAMAH MESRA DAN BARBEKU

Majlis tersebut bermula dari jam 8.45 malam hinggalah jam 11.45 malam.

Dalam majlis tersebut, pihak tuan rumah menyediakan air berperisa oren, kentang, salad campur, sosej ayam serta ayam barbeku. Segelintir ahli rombongan Kelab UMNO turut membantu pelajar-pelajar tuan rumah untuk memanggang ayam barbeku. Sambil menunggu ayam barbeku siap dimasak, ahli rombongan Kelab UMNO Yogyakarta dan para pelajar Malaysia di Solo sempat berbual-bual mesra dan bermain permainan kanak-kanak.

Majlis dilanjutkan dengan persembahan spontan daripada pelajar –pelajar Malaysia di Solo. Anggota rombongan Kelab UMNO turut diminta untuk mempersembahkan sesuatu yang santai dan spontan. Atas permintaan Timbalan Presiden Kelab UMNO Yogyakarta, akhirnya rombongan Kelab UMNO menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama.

Pihak pelajar Malaysia di Solo kemudiannya membalas dengan lagu patriotik “Kerana-Mu Malaysia” dan lagu sorak mereka yang tersendiri. Kelab UMNO pun memulangkan paku bua keras dengan nyanyian solo daripada Saudara Amir. Pihak PKPMI Solo kemudiannya mengajak Kelab UMNO bersama-sama memainkan permainan santai dan terkenal, “Goreng Pisang” sebagai penutup acara.

PENYERAHAN BORANG KELAB UMNO

Tepat jam 12 Malam menjadi suatu detik bersejarah dalam pentadbiran Kelab UMNO Yogyakarta. Setelah perbincangan panjang antara Presiden Kelab UMNO Yogyakarta 2009, Saudara Hafiezulniezam dan Saudara Nazaluddin, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia yang berlanjutan selama berbulan-bulan, akhirnya 16 pelajar Melayu Malaysia di Solo turut bergabung dalam Kelab UMNO Yogyakarta secara rasmi pada saat tersebut. Majlis dibuka dengan bacaan al-Fatihah.

Walaupun Saudara Hafiezulniezam sendiri tidak dapat hadir dalam peristiwa bersejarah itu namun aspirasi beliau telah pun diketahui umum oleh ahli rombongan. Dalam acara kemuncak lawatan Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo tersebut, 16 lembar borang keahlian Kelab UMNO Yogyakarta telah diterima oleh Saudara Shahrir Suhaimi, Timbalan Presiden Kelab UMNO Yogyakarta daripada Saudara Nazaluddin.

Dalam ucapannya, Saudara Shahrir Suhaimi berterima kasih kepada pelajar-pelajar Malaysia di Solo kerana meraikan kehadiran rombongan Kelab UMNO Yogyakarta dengan sangat meriah. Beliau juga menyatakan penghargaan yang melimpah ruah daripada Kelab UMNO atas kesediaan seluruh pelajar Melayu Solo untuk menyertai Kelab UMNO Yogyakarta.

Pelajar Melayu di Solo yang diwakili saudara Nazaluddin pula menyampaikan aspirasi supaya tidak dianaktirikan oleh Kelab UMNO Yogyakarta dan berharap agar kemasukan mereka ke dalam Kelab UMNO bukanlah sesuatu dipersiakan oleh pimpinan Kelab UMNO Yogyakarta. Mereka berharap agar kemasukan pelajar Melayu di Solo dalam Kelab UMNO Yogyakarta bukan batu loncatan untuk meningkatkan bilangan ahli dan populariti Kelab UMNO Yogyakarta tetapi sebagai wadah kerjasama dan kesatuan pelajar Melayu di Indonesia.

PELANCARAN BLOGPSOT KELAB

Bak kata pepatah sekali merengkuh dayung dua tiga pulau terlampau; Dalam rangka lawatan Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo, pada hari Ahad 31 Mei 2009, suatu Majlis Pelancaran Blogspot Kelab UMNO Yogyakarta Fasa Internal Peringkat Pertama telah diadakan.

Majlis ringkas ini diselanggarakan oleh Biro Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Kelab UMNO Yogyakarta yang dipimpin Saudara Tuan Muhammad Hafiz dibawah seliaan Naib Setiausaha Kelab UMNO, Saudara Hafizuddin Jailani.

Gambar boleh di lihat [di sini]

Read more...

Mohon Maaf

Jumaat, 23 Oktober 2009

Maaf atas kesulitan dan keterlambatan kami dalam mengemas kini aktiviti-aktiviti dan data-data kelab. Segala kesulitan amat kami kesali.

Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang menyokong dan sentiasa mengambil tahu akan blog rasmi kami ini. Segala komen, pandangan, nasihat serta kritikan yang membina amat kami alu-alukan.

Semoga ukhwah kita tersambung dan perjalanan kita di bumi asing ini dapat dilalui dengan mudah dengan adanya kebergantungan dan kesefahaman antara kita.

Salam mesra.

Apa yang penting? KERJASAMA :)

Read more...

About This Blog

Aktiviti Yang Akan Datang

-

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP