Sekapur Sirih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

Segala puji dirafakkan kepada Allah, kerana dengan limpah karunianya dapatlah Kelab UMNO Yogyakarta melancarkan semula laman blog kami. Diharapkan dengan wujudnya laman ini, pengunjung dapat menyeluruhi perjalanan Kelab kami untuk masa-masa yang mendatang. Semoga usaha ini membuahkan kebaikan kepada semua.

Kepada ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Yogyakarta, khususnya, dan semua pengunjung yang bertandang ke laman kami, amnya, gunakanlah laman ini semaksimal dan sebaik mungkin. Sekiranya anda mempunyai sebarang kritik dan saran, bolehlah diajukan terus kepada pentadbir laman ini.

Mesyuarat Agong Tahunan kali ke-14 - Kata – Kata Aluan Pengerusi Kelab UMNO Yogyakarta sessi 09/10

Selasa, 21 Disember 2010

Assalamualaikum w.b.t…

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, pengurusan Kelab UMNO Yogyakarta sessi 2009/10 akan berakhir dengan jayanya. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kepengurusan atas penyertaan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang sessi lepas. Tahniah juga saya ucapkan kepada mereka kerana telah berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang dan penuh dedikasi demi misi dan visi kelab. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada semua ahli kelab atas mandat yang telah diberikan kepada kami untuk menerajui KUY sessi lepas.

Di sini, ingin saya lahirkan rasa bangga apabila melihat kemajuan dan kecemerlangan yang telah dikecapi, sehingga nama Kelab UMNO Yogyakarta telah dikenali dan dikagumi umum. Suka saya nyatakan bahawa kita telah dijadikan sebagai kelab contoh oleh beberapa Kelab UMNO Luar Negara lainnya. Jika suatu ketika dahulu, nama Kelab UMNO Yogyakarta dianggap setara atau sejajar dengan kelab-kelab UMNO lain di Indonesia, namun secara hakikatnya KUY kini telah berjaya mengorak langkah lebih maju kehadapan; dan nama Yogyakarta kini sering menjadi sebutan dan kekaguman oleh kelab-kelab UMNO lainnya seluruh dunia.

Semua tujuan dan matlamat ini telah dicapai dengan wujudnya persefahaman, kesepakatan, kesatuan dan perpaduan dari kalangan ahli kelab sendiri. Semangat dan perpaduan yang seperti ini juga cuba kita terapkan dalam setiap individu, terutama di kalangan ahli KUY khususnya. Selain itu, segala misi dan visi kelab tetap harus diteruskan dan diterapkan dalam diri kita dan dijadikan sebagai asas dan tunggak KUY di masa hadapan. Misi dan visi yang paling utama, iaitu dalam menjaga kebajikan semua pelajar serta menjaga perpaduan di antara mereka haruslah kita utamakan dan selalu dijadikan landasan perjuangan kita di sini. Di samping itu, KUY juga bertujuan untuk melahirkan generasi yang aktif, bertanggungjawab, dan cemerlang bukan sahaja dari segi berpersatuan, malah dari aspek akademik dan sosialisasi. Kita mahu nama Yogyakarta dikenali, bukan kerana kuantitinya yang ramai, tetapi dari segi kualiti ahlinya.

Dalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini, nama KUY sering menjadi buah bibir di kalangan kelab-kelab UMNO lainnya. Mereka memandang tinggi kebolehan dan kemampuan kita. Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali kita menganggap perjuangan kita telah selesai, kerana hakikatnya, masih banyak yang perlu diperbaiki dan dicapai dalam usaha menaikkan dan memantapkan lagi nama Kelab UMNO Yogyakarta. Walaupun nama Kelab UMNO Yogyakarta kini dikatakan gah berada di mata dunia, kita tetap harus buktikan kepada mereka bahawa ahli Kelab UMNO Yogyakarta ini selain aktif dan berkaliber dalam aktiviti kelab, namun tujuan asal kedatangan kita di sini demi membawa pulang segulung ijazah tetap menjadi keutamaan, dalam usaha melahirkan mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik, dan mampu menggemilangkan nama negara di manapun kita berada. Teruskanlah perjuangan dan jangan pernah merasa puas kerana kejayaan itu bukanlah satu destinasi yang dituju, kejayaan itu adalah satu perjalanan yang jauh.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin memberikan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh ahli KUY umumnya dan kepada barisan kepengurusan khususnya atas segala kerjasama yang telah diberikan. Tanpa kerjasama semua, adalah mustahil untuk saya bekerja dan melangkah sejauh ini. Bersama kita merealisasikan impian 1Malaysia YAB Perdana Menteri kita, untuk melihat satu perpaduan yang utuh seluruh rakyat Malaysia, walaupun di mana jua kita berada.

Sekian, wassalam.

(MOHD HAFIEZULNIEZAM BIN MOHD HASDIN)
PENGERUSI KELAB UMNO YOGYAKARTA BAGI SESSI 2009/2010.

0 comments:

About This Blog

Aktiviti Yang Akan Datang

-

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP