Sekapur Sirih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

Segala puji dirafakkan kepada Allah, kerana dengan limpah karunianya dapatlah Kelab UMNO Yogyakarta melancarkan semula laman blog kami. Diharapkan dengan wujudnya laman ini, pengunjung dapat menyeluruhi perjalanan Kelab kami untuk masa-masa yang mendatang. Semoga usaha ini membuahkan kebaikan kepada semua.

Kepada ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Yogyakarta, khususnya, dan semua pengunjung yang bertandang ke laman kami, amnya, gunakanlah laman ini semaksimal dan sebaik mungkin. Sekiranya anda mempunyai sebarang kritik dan saran, bolehlah diajukan terus kepada pentadbir laman ini.

Lawatan Semarak Ukhwah AJK Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo

Sabtu, 24 Oktober 2009

Pada 29 Mei hingga 31 Mei 2009 yang lalu, Kelab UMNO Yogyakarta (KUY) telah menganjurkan lawatan “Semarak Ukhwah Kelab UMNO Yogyakarta”. Destinasi yang pertama adalah ke Solo. Matlamat utama program ini adalah untuk memantapkan lagi semangat kebersamaan dan kekitaan antara orang-orang Melayu di Solo dan juga di Yogyakarta. Di samping itu juga, Kelab UMNO Yogyakarta juga mendedahkan kepada para AJKnya untuk menambah pengalaman, pengetahuan dan berkongsi cara pentadbiran dengan organisasi mahasiswa Malaysia di Solo. Bak kata pepatah, Jauh Perjalanan Luas Pemandangan.



Oleh sebab ketiadaannya di Indonesia, Saudara Hafiezulniezam (Presiden KUY) telah melantik Imran Azwan bin Azizan, Setiausaha Eksekutif dan Pentadbiran Kelab UMNO Yogyakarta sebagai Koordinator manakala Iiffa Nabilah binti Shamsuddin, Ketua Puteri Kelab UMNO Yogyakarta sebagai Pengurus Program. Kunjungan ini disertai 20 orang AJK Kelab.

Setibanya di Stesen Kereta Api Balapas, Solo, rombongan Kelab UMNO Yogyakarta disambut ramah oleh Saudara Nazaluddin, YDP PKPMI Solo. Sepanjang kunjungan, AJK Kelab UMNO Yogyakarta telah menginap di Tri-Chakti Kostrad, Solo.

Ikutilah pengalaman menarik kami sepanjang berada di sana.

PERLAWANAN PERSAHABATAN (FUTSAL)

Kelab UMNO Yogyakarta tidak melepaskan peluang untuk menyertai Perlawanan Persahabatan Futsal menentang PKPMI Solo sempena kunjungan mereka ke Solo. Perlawanan ini berlangsung di Pengawai Sport Center Solo dari jam 7.45 malam hingga 9.00 malam pada hari Jumaat 29 Mei 2009.

Perlawanan persahabatan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Dalam perlawanan kumpulan lelaki, Kelab UMNO Yogyakarta telah menjaringkan 7 gol berbalas 3 daripada PKPMI Solo. Saudara Amir Zakwan bin Mohd Yusuf, yang juga merupakan EXCO Sukan Kelab, telah menjaringkan 6 gol, sekaligus menjadi ayam tambatan Kelab UMNO Yogyakarta. Keputusan perlawanan berpihak kepada Kelab UMNO Yogyakarta dengan 7 gol berbalas 3.

Perlawanan pihak perempuan pula menyaksikan pertarungan 30 minit yang sengit. Kedua-dua belah pihak saling menyerang dan menangkis serangan. Keputusan perlawanan seri tanpa gol.

MAKAN MALAM MESRA

Pada Jumaat 29 Mei 2009, Kelab UMNO Yogyakarta telah menaja suatu Makan Malam Mesra Kelab UMNO di Resto Rempah Asia, Solo. Majlis Makan Malam tersebut berlangsung daripada jam 10.00 malam hingga 11.30 malam. Resto Rempah Asia merupakan salah satu Restoran terkenal di Solo yang menyajikan masakan istimewa Malaysia.

Kelab UMNO Yogyakarta telah menempah sebanyak 35 porsi makanan daripada Resto Rempah Asia dalam agenda tersebut. Antara hidangan lazat malam tersebut adalah Nasi Beriyani, Ayam Masak Merah, Pajeri Nanas, Agar-Agar, Teh Tarik, dan Jus Oren.

KE KERATON SOLO

“Kalau ke Paris jangan lupa ke Eiffel-nya, kalau ke Solo jangan lupa ke Keratonnya.”

Begitulah kata orang-orang tua. Pada hari Sabtu 30 Mei 2009, Kelab UMNO Yogyakarta telah mengadakan Kunjungan Sambil Belajar Satu Jam ke Keraton Solo. Keraton adalah Istana Sultan dalam bahasa Jawa. Matlamat lawatan ini adalah untuk mempelajari sejarah ringkas negeri Solo yang melibatkan kisah pembahagian kesultanan Islam Mataram hinggalah keruntuhan kesultanan Solo.

Ahli Rombongan Kelab UMNO tiba di keraton Solo sekitar jam 12.15 tengah hari. Rombongan terlebih dahulu dibawa ke Balairung Seri Keraton Solo. Sebelum memasuki kawasan balairung, hulubalang keraton memeriksa pakaian para pengunjung. Beberapa AJK yang tak mengenakan pakaian sesuai dengan istiadat diminta mengenakan pakaian batik solo yang tersedia di gerbang balairung seri. Sesiapa yang tidak memakai kasut yang menutup tumit juga diminta berkaki ayam sebagai tanda menghormati adat istiadat keistanaan Jawa.

Tanah di kawasan tersebut diambil dari Roro Kidul (Laut Selatan). Ruangan luar balairung seri tersebut dipenuhi dengan patung dewi-dewi pelindung barat yang dihadiahkan oleh Belanda kepada Keraton dalam usahanya menjajah minda dan tanah rakyat Jawa. Terdapat juga sekumpulan pemuzik istana yang mendendangkan gamelan.

MANDI MANDA DI TAMAN AIR PENDAWA

Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo telah bersepakat untuk bermandi-manda bersama di Pandawa Water Park Solo sebagai rekreasi untuk menenangkan stres setelah menduduki peperiksaan beberapa hari sebelumnya. Rombongan tiba di Taman Tema Air Pandawa sekitar jam 2.15 petang.

PKPMI Solo turut membantu ahli rombongan untuk membeli tiket masuk ke Taman Tema Air Pandawa. Seramai 18 orang anggota rombongan Kelab UMNO yang turut serta dalam acara tersebut dan juga Sebahagian ahli PKPMI Solo.

Pengunjung dibahagikan kepada kelompok lelaki dan perempuan. Setelah dibahagikan, anggota rombongan solat Zohor terlebih dahulu. Kemudian, kelompok rombongan pun menyerbu ke dalam kolam bagai seladang bertemu lumpur. Terdapat pelbagai mainan gelongsor air di taman tema tersebut seperti black hole, body slide dan sebagainya. Anggota rombongan Kelab UMNO tidak melepaskan peluang menikmati semua jenis gelongsor air.

Anggota rombongan pulang ke tempat penginapan sekitar jam 5.50 petang setelah menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah

MAJLIS RAMAH MESRA DAN BARBEKU

Majlis tersebut bermula dari jam 8.45 malam hinggalah jam 11.45 malam.

Dalam majlis tersebut, pihak tuan rumah menyediakan air berperisa oren, kentang, salad campur, sosej ayam serta ayam barbeku. Segelintir ahli rombongan Kelab UMNO turut membantu pelajar-pelajar tuan rumah untuk memanggang ayam barbeku. Sambil menunggu ayam barbeku siap dimasak, ahli rombongan Kelab UMNO Yogyakarta dan para pelajar Malaysia di Solo sempat berbual-bual mesra dan bermain permainan kanak-kanak.

Majlis dilanjutkan dengan persembahan spontan daripada pelajar –pelajar Malaysia di Solo. Anggota rombongan Kelab UMNO turut diminta untuk mempersembahkan sesuatu yang santai dan spontan. Atas permintaan Timbalan Presiden Kelab UMNO Yogyakarta, akhirnya rombongan Kelab UMNO menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama.

Pihak pelajar Malaysia di Solo kemudiannya membalas dengan lagu patriotik “Kerana-Mu Malaysia” dan lagu sorak mereka yang tersendiri. Kelab UMNO pun memulangkan paku bua keras dengan nyanyian solo daripada Saudara Amir. Pihak PKPMI Solo kemudiannya mengajak Kelab UMNO bersama-sama memainkan permainan santai dan terkenal, “Goreng Pisang” sebagai penutup acara.

PENYERAHAN BORANG KELAB UMNO

Tepat jam 12 Malam menjadi suatu detik bersejarah dalam pentadbiran Kelab UMNO Yogyakarta. Setelah perbincangan panjang antara Presiden Kelab UMNO Yogyakarta 2009, Saudara Hafiezulniezam dan Saudara Nazaluddin, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia yang berlanjutan selama berbulan-bulan, akhirnya 16 pelajar Melayu Malaysia di Solo turut bergabung dalam Kelab UMNO Yogyakarta secara rasmi pada saat tersebut. Majlis dibuka dengan bacaan al-Fatihah.

Walaupun Saudara Hafiezulniezam sendiri tidak dapat hadir dalam peristiwa bersejarah itu namun aspirasi beliau telah pun diketahui umum oleh ahli rombongan. Dalam acara kemuncak lawatan Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo tersebut, 16 lembar borang keahlian Kelab UMNO Yogyakarta telah diterima oleh Saudara Shahrir Suhaimi, Timbalan Presiden Kelab UMNO Yogyakarta daripada Saudara Nazaluddin.

Dalam ucapannya, Saudara Shahrir Suhaimi berterima kasih kepada pelajar-pelajar Malaysia di Solo kerana meraikan kehadiran rombongan Kelab UMNO Yogyakarta dengan sangat meriah. Beliau juga menyatakan penghargaan yang melimpah ruah daripada Kelab UMNO atas kesediaan seluruh pelajar Melayu Solo untuk menyertai Kelab UMNO Yogyakarta.

Pelajar Melayu di Solo yang diwakili saudara Nazaluddin pula menyampaikan aspirasi supaya tidak dianaktirikan oleh Kelab UMNO Yogyakarta dan berharap agar kemasukan mereka ke dalam Kelab UMNO bukanlah sesuatu dipersiakan oleh pimpinan Kelab UMNO Yogyakarta. Mereka berharap agar kemasukan pelajar Melayu di Solo dalam Kelab UMNO Yogyakarta bukan batu loncatan untuk meningkatkan bilangan ahli dan populariti Kelab UMNO Yogyakarta tetapi sebagai wadah kerjasama dan kesatuan pelajar Melayu di Indonesia.

PELANCARAN BLOGPSOT KELAB

Bak kata pepatah sekali merengkuh dayung dua tiga pulau terlampau; Dalam rangka lawatan Kelab UMNO Yogyakarta ke Solo, pada hari Ahad 31 Mei 2009, suatu Majlis Pelancaran Blogspot Kelab UMNO Yogyakarta Fasa Internal Peringkat Pertama telah diadakan.

Majlis ringkas ini diselanggarakan oleh Biro Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Kelab UMNO Yogyakarta yang dipimpin Saudara Tuan Muhammad Hafiz dibawah seliaan Naib Setiausaha Kelab UMNO, Saudara Hafizuddin Jailani.

Gambar boleh di lihat [di sini]

Read more...

Mohon Maaf

Jumaat, 23 Oktober 2009

Maaf atas kesulitan dan keterlambatan kami dalam mengemas kini aktiviti-aktiviti dan data-data kelab. Segala kesulitan amat kami kesali.

Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang menyokong dan sentiasa mengambil tahu akan blog rasmi kami ini. Segala komen, pandangan, nasihat serta kritikan yang membina amat kami alu-alukan.

Semoga ukhwah kita tersambung dan perjalanan kita di bumi asing ini dapat dilalui dengan mudah dengan adanya kebergantungan dan kesefahaman antara kita.

Salam mesra.

Apa yang penting? KERJASAMA :)

Read more...

Laporan Majlis Berbuka Puasa Bersama Kedutaan Besar Malaysia Ramadhan 1430 H

Khamis, 17 September 2009

Pada 9 September 2009, Kelab UMNO Yogyakarta dengan kerjasama PKPMI-CY telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra Bersama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia Ramadhan 1430 H bertempat di Graha Sarina Vidi, Jalan Magelang. Majlis bermula sekitar jam 5 malam dan berakhir pada jam 7 malam. Lebih kurang 300 mahasiswa Malaysia di Yogyakarta menghadiri majlis tersebut.

Majlis ini diadakan sempena menyambut minggu-minggu terakhir bulan Ramadhan 1430 H. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan mahasiswa Malaysia, mahasiswa Indonesia, kedutaan dan pihak eksekutif tertinggi Fakultas kedokteran. Selain itu, ini merupakan majlis makan malam pertama pelajar-pelajar junior Malaysia yang baru mendaftar di Yogyakarta.

Selain jemputan kehormat dari Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Dr, Junaidy Abu Bakar (sekarang Datuk), pihak panitia turut menjemput wakil dekan Fakultas Kedokteran UGM, Prof Dr Suhardjo dan Presiden Badan Eksekutif Mahasiswa Fakultas Kedokteran (BEM FK), Yoga Rossi serta 5 perwakilan BEM FK.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa. Sementara menunggu azan Maghrib, acara diisi dengan bacaan al-Quran dan Tafsirnya. Apabila azan Maghrib telah berkumandang, para hadirin dijemput untuk menjamah sedikit juadah yang disediakan untuk berbuka sekadar alas perut. Para Hadirin kemudiannya solat Maghrib berjemaah di ruang yang disediakan. Selepas memastikan semua hadirin selesai solat, majlis dilanjutkan dengan ucapan alu-aluan daripada Saudara Hafiezulniezam, ketua pelaksana diikuti ucapan perasmian daripada pengarah JPMI, Dr. Junaidy Abu Bakar. Wakil Dekan dan Presiden BEM FK turut menyampaikan ucapan mereka.

Selepas ucapan-ucapan, hadirin dipersilakan untuk menjamu makan malam. Sementelahan itu, Dr Junaidy sempat beramah mesra dengan para pelajar. Majlis ditamatkan dengan sessi fotografi bersama. Tetamu kehormat pulang sekitar jam 6.40 malam. Pengunjung-pengunjung beransur pulang selepas itu.

Diharapkan bulan Ramadhan 1430 H membawa makna yang mendalam untuk mengakrabkan ukuwwah para pelajar Malaysia-Indonesia di Indonesia.

Read more...

Laporan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-52

Rabu, 16 September 2009

Pada 31 Ogos 2009, Kelab UMNO Yogyakarta dengan kerjasama PKPMI-CY telah menganjurkan sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-52 bertempat di Auditorium Fakulti Kedoketeran UGM. Majlis bermula sekitar jam 6 malam dan berakhir pada jam 10 malam. Lebih kurang 270 mahasiswa Malaysia menghadiri majlis tersebut.


Objektif majlis ini adalah untuk menyuburkan lagi semangat patriotisme di kalangan para pelajar di samping mengakrabkan hubungan para pelajar dengan prinsip “Satu Malaysia” yang menjadi tema sambutan pada tahun ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu negaraku. Kemudian, para hadirin dijemput untuk menjamah juadah makan malam yang tersedia. Selepas makan malam, acara dilanjutkan dengan ucapan oleh Ketua Pelaksana, Saudara Syazwan. Acara dirasmikan secara bersama oleh Saudara Hafiezulniezam dan Saudara Syazwan. Saudara Hafiezulniezam diminta menetap di atas pentas seketika untuk melaungkan “Merdeka” sebanyak 3 kali.

Acara dilanjutkan dengan persembahan-persembahan kesenian daripada pelajar-pelajar junior 2009 dan diselikan dengan tayangan video. Majlis kemudiannya diserahkan kepada Saudara Imran untuk sessi penyampaian hadiah bagi aktiviti Majlis Suai Kenal yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos. Diselitkan sekali nyanyian lagu “Happy Birthday to You” untuk Saudari Rafah yang lahir pada 31 Ogos.

Majlis ditutup dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan sessi bergambar bersama.

Read more...

Majlis Suai Kenal Junior 2009

Selasa, 15 September 2009

Pada 30 dan 31 ogos yang lalu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKMPI) telah mengadakan Masjil Suai Kenal (MSK) bagi pelajar-pelajar baru yang mendaftarkan diri pada tahun 2009.

Disamping mempunyai misi dan visinya tersendiri, MSK ini juga dilihat dapat memberikan output yang positif dikalangan pelajar Malaysia di sini. Selain merapatkan silaturahim dan menjalinkan persahabatan di kalangan pelajar, MSK juga dapat memupuk semangat kerjasama dan berpasukan di mana, segala aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan turut membuktikan bahawa fikiran kolot mengatakan bahawa MSK adalah satu program untuk membuli pelajar baru adalah salah.




Dengan adanya MSK juga, pelajar semasa Malaysia dapat mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain. Almaklumlah, berada di tempat orang sangat memerlukan kebergantungan sesama sendiri bagi mengelakkan timbul rasa terpencil dan kesunyian (homesick) serta perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Dikesempatan ini juga, Kelab UMNO Jogja mengambil kesempatan untuk mengadakan perjumpaan dengan pelajar-pelajar baru. Walaupun hanya 1 jam diperuntukan kepada kami, tetapi kami berusaha sebaiknya untuk membuktikan bahawa menceburi dalam kelab ini bukanlah hanya politik semata-mata, tetapi juga mencungkil bakat ahli dalam berpersatuan.

Syukur Alhamdulillah, kami berjaya meyakinkan pelajar-pelajar 2009 untuk turut sama menyertai Kelab UMNO ini dan seramai lebih kuran
g 25 pelajar baru telahpun mendaftarkan diri sebagai ahli.

Berikut ini disertakan sekali gambar-gambar sepanjang majlis itu berlangsung.



Saudara Imran Azwan, Setiausaha kelab membentangkan butir-butir kelab umno secara terperinci.


Junior Batch 2009


Ucapan kata-kata aluan daripada Presiden Kelab UMNO sessi 09/10


Adik-adik 2009 kyusuk mendengar taklimat.

Gaya seorang pemimpin. :)

Memperkenalkan barisan AJK sessi 09/10

Dengan ini, kami mengharapkan bahawa ahli-ahli baru ini dapat memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang berlangsungnya acara dan aktiviti kelab. Semoga mereka bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.


Read more...

About This Blog

Aktiviti Yang Akan Datang

-

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP