Sekapur Sirih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.

Segala puji dirafakkan kepada Allah, kerana dengan limpah karunianya dapatlah Kelab UMNO Yogyakarta melancarkan semula laman blog kami. Diharapkan dengan wujudnya laman ini, pengunjung dapat menyeluruhi perjalanan Kelab kami untuk masa-masa yang mendatang. Semoga usaha ini membuahkan kebaikan kepada semua.

Kepada ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Yogyakarta, khususnya, dan semua pengunjung yang bertandang ke laman kami, amnya, gunakanlah laman ini semaksimal dan sebaik mungkin. Sekiranya anda mempunyai sebarang kritik dan saran, bolehlah diajukan terus kepada pentadbir laman ini.
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Chersonesus Aurea ?

Jumaat, 25 Mac 2011

Chersonesus Aurea atau Golden Khersonese (Semenanjung Emas) adalah semenanjung paling selatan benua Asia. Nama tersebut direkodkan oleh Ptolemy, menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan pengeluar emas yang terkenal pada zaman Yunani.

Semenanjung Emas terbentang daripada Pattani di utara hingga Johor di selatan. Segenting Kra merupakan titik tersempit bagi Semenanjung Emas.

Lakaran Peta Asia oleh Ptolemy.
Ada Sinus, Ada Magnus, dsb. Sesuai untuk belajar anatomi. Kenal Pasti Chersonesus Aurea.

Banjaran Titiwangsa (sebahagian daripada Sistem Banjaran Tenasserim) merupakan tulang belakang bagi semenanjung ini. Ekor Banjaran Titiwangsa adalah Gunung Ledang, dan kemuncak tertinggi adalah Gunung Korbu.

Gunung Ledang juga dikenali sebagai Mount Ophir daripada bahasa Ibrani (Yahudi) yang bermaksud Gunung Emas. Gunung Ledang mendapat nama daripada kerajaan Majapahit yang bermaksud "Gunung nun Jauh".


Banjaran Titiwangsa

Selat Melaka memisahkan Semenanjung Emas dengan Sumatera dan Selat Johor memisahkan Semenanjung Emas dengan Singapura. Selat Melaka merupakan Selat Terpanjang di dunia.

Attarikh Salasilah Negeri Kedah merekodkan bahawa semenanjung ini dikenali Tanah Segara Masin sebelum dikenali sebagai Tanah Melayu. Hikayat Hang Tuah merekodkan gelaran Tanah Melayu dikenali umum untuk merujuk kepada jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka.



Rujukan:

http://en.wikipedia.org

Read more...

MOHOR BESAR RAJA-RAJA

Rabu, 23 Mac 2011


Mohor Besar Raja-Raja disimpan dan digunakan oleh Penyimpan Besar Raja-Raja seperti diperuntukan oleh seksyen 4 dalam Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan.


Terdapat dua Mohor Besar yang disimpan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Mohor Besar yang pertama berukuran 51 cm panjang, 22 cm lebar, 52 cm tinggi dan seberat 93 kg. Manakala Mohor Besar yang kedua berukuran 51 cm panjang, 14 cm lebar, 35.5 cm tinggi dan seberat 38kg. Mohor Besar yang kedua ini lebih mudah dibawa ke luar pejabat apabila perlu.



Mohor Besar Raja-Raja
Klasik

Permukaan Mohor Besar mengandungi jata kerajaan sembilan Negeri Melayu serta tertulis perkataan “Mohor Besar Raja-Raja Negeri Melayu” dalam huruf jawi. Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali keempat pada 31 Ogos 1948 telah bersetuju menerima corak pada Mohor Besar Raja-Raja yang digunakan sehingga ke hari ini.

Kedua-dua Mohor Besar Raja-Raja dibuat di England pada tahun 1949 dengan kos £211.10

FUNGSI MOHOR BESAR RAJA-RAJA

Mohor Besar ini melambangkan kuasa dan hak institusi Majlis Raja-Raja. Ia melambangkan kuasa kerana ia terbit daripada sebuah badan yang teragung di Negara ini. Surat cara yang dimeterai dengan Mohor Besar melambangkan kepercayaan dan kuasa. Ia melambangkan kadaulatan surat cara tersebut.Mohor membuktikan kesasihan asal usul sesuatu surat cara.


Mohor Besar Raja-Raja
kenal, jangan tak kenal

Oleh sebab kesan terapan daripada Mohor Besar akan merubahkan tekstur kertas, maka cap mohor ini dapat bertahan lebih lama daripada “cap getah” yang menggunakan dakwat yang tertera pada permukaan surat cara.



Read more...

Durbar Raja-Raja Melayu

Isnin, 17 Januari 2011


Tanggal 13 Julai 1897, adalah tarikh perjumpaan pertama yang hanya melibatkan raja-raja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu. Perjumpaan ini diadakan di Istana Negara, Kuala Kangsar, Perak. Meskipun ketika itu Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ini dipanggil ‘Durbar’, yang diambil daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar membawa maksud istana raja), ia juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh raja negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British di India. Apa jua maksudnya, matlamat dan hasil kesan dari Durbar itu, membawa seterusnya kepada pembentukan negara kita Malaysia.

Durbar pertama berlangsung selama empat hari dan dihadiri oleh Sultan Idris Murshidul’adzam Shah dari Perak, Sultan Ahmad dari Pahang, Sultan Abdul Samad dari Selangor dan Yamtuan Besar Muhammad dari Negeri Sembilan. Manakala pihak British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell (Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Frank Swettenham (Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), Hugh Clifford (Residen British di Pahang), J.P. Rodger (Residen British di Selangor) dan W.H. Treacher (Residen British di Perak). Negeri Sembilan tidak mempunyai wakil dari pihak British kerana Residen ketika itu, Martin Lister meninggal dunia pada bulan Februari 1897.

Walaupun perkara-perkara yang dibincangkan dalam Durbar yang pertama itu hanya melibatkan agama Islam, adat istiadat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan orang Melayu, namun ianya merupakan titik tolak dan asas bermulanya persidangan Majlis Raja-Raja. Untuk makluman, gambar sultan-sultan, pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai British yang menghadiri Durbar pertama serta minit mesyuarat Durbar pertama disimpan sebagai khazanah eksklusif negara dan terbuka untuk rujukan semua di Arkib Negara Malaysia.

Durbar kedua diadakan pada tahun 1903 di Kuala Lumpur dan satu perkara penting yang timbul dalam Durbar kedua ini ialah keberanian Sultan Idris menyuarakan dan menggesa pihak British agar lebih ramai orang Melayu dilantik untuk berkhidmat dengan kerajaan dan mereka ini dilantik ke jawatan yang lebih tinggi. Betapa jauh pandangan Sultan Idris yang meminta supaya pentadbiran Tanah Melayu ketika itu, turut dikongsi oleh anak bangsanya sendiri, menjelaskan pelaksanaan amanah oleh Majlis Raja-Raja bagi pihak orang-orang Melayu ketika itu.

Wajar diingati, kesan dari Durbar juga memperlihatkan peranan Raja-Raja sebagai pelindung dan penjaga hak dan kedaulatan orang Melayu ketika itu. Dari Durbar jugalah idea, cadangan dan suara-suara bangsa bagi mempertingkatkan taraf hidup dan status ekonomi bangsa Melayu diutarakan. Idea asal penubuhan Askar Melayu Diraja dan Kolej Melayu Kuala Kangsar juga bermula dari sini. Selain itu, penekanan soal agama Islam dan bahasa Melayu turut diperjuangkan oleh Raja-Raja Melayu di ruang yang ada dalam Durbar ini.

Read more...

ASAL NAMA JALUR GEMILANG

Jumaat, 14 Januari 2011

Jalur Gemilang Yang Megah Berkibar


Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.



SUMBER:

WIKIPEDIA: BENDERA MALAYSIA

Read more...

About This Blog

Aktiviti Yang Akan Datang

-

  © Blogger template Leaving by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP